Friday, December 26, 2014

Titik Persamaan

Pernah tak terjadi dalam kalangan kawan-kawan atau ahli keluarga yang merokok, apabila mereka meminjam pemetik api daripada perokok yang lain, layanan yang diterimanya daripada perokok tersebut adalah sangat baik.

Bukan niat saya untuk menyatakan kebaikan merokok. Apa yang ingin saya fokuskan adalah bagaimana layanan yang diberikan oleh perokok tersebut kepada perokok yang lain yang memerlukan khidmat daripada 'si pemetik api' yang dipunyainya.

Kenapa layanan yang diberinya cukup baik walhal mereka bukannya berkawan malah kenal pun tidak?

"Oh, kami geng rokok ni ada 'chemistry'. Kami boleh saja nak geng dengan geng-geng rokok yang lain, pinjam lighter, minta rokok. Semua perokok ni satu kepalalah senang kata."
Itulah ungkapan yang sering saya terima apabila membangkitkan isu ini.

Ya, satu kepala, ada 'chemistrty', keserasian.

Titik Persamaan
Kerana apa perokok boleh menerima dan melayan permintaan perokok yang lain adalah kerana titik persamaam yang ada pada diri mereka.

"Kami perokok. Kami satu geng."

Inilah yang menjadi tanda tanya dalam kehidupan masyarakat kita hari ini.

Jikalau perokok yang rata-ratanya masyarakat melabel sebagai manusia yang jahat dan bermasalah ini boleh menghormati dan memuliakan 'rakan-rakan' perokoknya, maka apakah nilai kita, manusia yang baik dan tidak bermasalah ini?


Sekadar berbeza pendapat dari segi menu makan malam pun boleh menjadi isu negara, maka siapakah yang bermasalah sebenarnya?

Siapa yang bermasalah?

Ya, siapakah yang lebih bernilai di antara kita dengan si perokok itu?

Bukan niat saya sekali lagi untuk mengagungkan perokok. Tidak. Cuma, jikalau perbezaan latar belakang, perwatakan dan kedudukan boleh mereka ketepikan kerana mereka mempunyai persamaan dalam kerangka merokok, maka, yang paling bermasalahnya adalah kita, masyarakat yang baik ini!

Kita dianugerahkan dengan satu titik persamaan yang jauh lebih bernilai daripada merokok oleh Allah. Kita diberikan satu aqidah yang menjadi pegangan kehidupan kita. Aqidah yang membenarkan bahawa tiada ilah yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhamamad sebagai utusan Allah. Aqidah yang berharga untuk memakmurkan muka bumi.


Namun sayang, seribu kali sayang. Hanya dek kerana perbezaan pendapat, perbezaan politik, perbezaan kaum dan bangsa, aqidah yang indah ini telah dicalari oleh pemegang aqidah itu tersendiri.

Jatuh.

Jatuh sejatuh-jatuhnya darjat yang mulia yang dikurniakan Allah ini hanya kerana akhlak yang ditampilkan adalah buruk.

Tidak mahu menerima perbezaan.

Ego.

Kesimpulan.

Tidak semestinya perbezaan pendapat itu merupakan satu dinding yang besar yang menjadi penghalang daripada kesatuan kita. Adalah lebih baik kita fokus akan satu titik persamaan daripada terlalu sibuk membincangkan akan isu perbezaan kita. Manusia itu unik. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Inilah antara tanda kebesaran Allah, kemampuanNya mengendalikan pelbagai jenis karenah manusia yang unik dengan mudah.

Akhir kata, titik persamaan yang kita miliki merupakan jambatan penghubung antara hati seorang insan dengan insan yang lain.

Taqwalah yang membezakan nilai harga diri kita.

Sekian,
-Emir-

No comments:

Post a Comment