Tuesday, October 13, 2015

Politics of Soul

Politik itu, politik ini.
Sana jahat, sini pun jahat.
Jari kita sentiasa menunding akan kesalahan orang lain.
Mata kita senantiasa melihat kekurangan insan di sekeliling kita.
Lidah kita senantiasa menyampaikan perkara-perkara yang boleh mendatangkan aib kepada orang lain.
Begitulah kita. Manusia.

Semua Orang Salah!



“Eh, teruknya ketua kita ni! Apa benda pun tak boleh buat!”

“Cuba tengok kumpulan warna kelabu tu, asyik nak buat onar ja kerja mereka!”

“ Dia yang salah! Aku dah cakap jangan buat macam tu!”

“ Kalau tidak disebabkan polisi baru ini, kehidupan aku tak adalah sesukar begini.”

Inilah antara ungkapan yang sering kita dengar dalam kehidupan seharian kita. Kesalahan yang berlaku, kesulitan yang membebankan, kesengsaraan hidup, semuanya kita lemparkan kepada pihak lain agar hidup kita menjadi lebih senang.

            Benar. Tidak dinafikan, memang sesuatu itu terjadi kerana adanya faktor luaran. Faktor yang bukan dalam kawalan kita. Namun, ada sesuatu yang masih dalam kawalan kita; respon kita terhadap situasi tersebut.

            Antara isu yang hangat dibicarakan dalam kalangan pelajar belakangan ini di kampus masing-masing adalah mengenai isu politik. Isu yang sangat sensitif. Namun, dalam artikel ini, bukan isu politik negara yang ingin dibicarakan. Benar, politik merupakan antara element penting dalam kehidupan tetapi, sesuatu yang berlaku dalam kehidupan ini adalah dalam keadaan berperingkat-peringkat.

            Seorang bayi, sebelum mengertinya cara untuk berjalan menggunakan dua kaki, merangkak adalah medium bagi dirinya untuk bergerak. Nasi, sebelum dimakan oleh kita hanyalah berasal daripada beras. Hatta, kejadian diri kita ini pun hanyalah dari setitis air mani yang tiada nilainya. Ini telah diceritakan oleh Allah dalam  surah Al-Hajj, ayat kelima.

            Apa yang ingin disampaikan di sini adalah segala-galanya yang berlaku ada proses, tahap yang perlu dilalui. Begitu juga dengan isu politik. Sebelum seorang insan yang bergelar mahasiswa menyibukkan diri dengan memikirkan isu politik kerajaan, mereka harus menguasai politik di dalam kampus; arena yang bertepatan dengan seorang pelajar. Namun, untuk berjaya dalam arena politik kampus ini juga, ramai yang terlupa akan satu isu politik yang paling utama iaitu politik dalam jiwa kita sendiri.

Politics of Soul

Politics of soul. Itulah teras kejayaan bagi sesebuah masyarakat, hatta sesebuah kerajaan sekali pun. Manakan sesebuah hidangan itu menjadi enak jika bahan-bahan dan rempah-ratusnya adalah berkualiti rendah dan rosak? Maka, antara perkara yang hilang dalam penghayatan mahasiswa hari ini adalah kurangnya ‘selfie’ ke dalam isu politik di dalam diri masing-masing dan terus melompat ke isu politik yang lebih besar medannya.


Ayuh kita ‘selfie’!


Baiklah, bagaimana kita ingin menguruskan isu politik di dalam diri kita? Caranya adalah dengan mengenal pasti elemen-elemen yang terdapat di dalam diri kita:

  1. Akal (intelek)
Bagi memastikan diri kita di dalam keadaan yang sentiasa baik, akal kita haruslah senantiasa dibajai dengan ilmu. Ilmu adalah makanan dan kehidupan bagi akal kita. Justeru, untuk menjadi seorang insan yang hebat, ilmu perlulah mantap kerana ilmu itulah yang akan menyuluhi kehidupan kita.
  1. Emosi
Emosi. Antara elemen yang menjadikan kita manusia. Emosilah yang membezakan kita dengan mesin, komputer dan robot. Walaupun emosi dikatakan sebagai penghalang kepada produktiviti namun dengan adanya emosi, kehidupan di muka bumi menjadi semakin indah. Maka, bergaullah dengan manusia yang indah peribadi dan akhlaknya agar emosi kita sentiasa di dalam keadaan yang baik.



  1. Nafsu
Tidak ada sesuatu yang diciptakan Allah di muka bumi ini adalah sia-sia. Nafsu sering dikaitkan dengan unsur negatif yang berlaku dalam kehidupan seharian kita. Namun sedarilah, nafsu ini adalah satu penanda aras bagi menunjukkan sejauh mana tahap pengurusan ilmu politik kita terhadap diri kita sendiri. Berpuasa adalah langkah yang berkesan di samping mendalami pelbagai cabang ilmu dalam mengawal nafsu kita.

Mengikut ulamak-ulamak kontemporari yang lain, elemen di dalam diri manusia tidak terhad kepada tiga perkara ini sahaja. Ada pelbagai lagi elemen yang harus dikuasai bagi menjadikan seseorang itu mampu menguasai hidupnya sendiri lantas menjadi manusia yang hebat. Namun, dek kerana kelemahan penulis sendiri, cukuplah sekadar tiga elemen ini sahaja.

      Oleh itu, ayuhlah kita sama-sama ‘selfie’ akan ketiga-tiga elemen yang ada di dalam diri kita ini agar kita bisa menjadi manusia yang menjadi contoh yang baik bagi generasi ini dan generasi-generasi yang bakal menjelma. Jadikan pengurusan diri kita sebagai titik permulaan bagi kebangkitan semula umat Islam yang hebat!