Sunday, November 23, 2014

"Let it go!"

" Ala, malaslah aku dengar cakap dia tu. Dia dengan aku bukannya ada beza pun."

" Dia tu poyo je lebih. Aku lagi pandai daripada dialah!"

Ego. Antara sifat yang sering terpancar dari diri seseorang apabila diberi teguran, lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja. Darah panas katakan. Sungguh pahit rasanya apabila seseorang cuba meng'highlight'kan kesalahan kita. Rasa seperti dihina. Maruah seolah-olah dicampak dan dipijak-pijak oleh si penegur tersebut.

Cerita Epik!

Apabila status dan kelebihan diri mula menyirami ego, keangkuhan dan kesombongan akan mula menguasai diri. Namun, adakah kita terlupa akan sebuah kisah yang masyhur yang berkait rapat dengan asal-usul kejadian kita?

Kisah suatu makhluk yang diturunkan darjatnya dan dihalau dari sebuah tempat yang mulia dek kerana keangkuhan dirinya? Ya, iblis telah diturunkan darjatnya dan dihalau keluar daripada syurga kerana keegoannya! Kisah ini telah diceritakan oleh Allah di dalam surah al-A'raf ayat 11-14 sebagai pedoman untuk kita. Namun, pada hari ini, kita sendiri yang mengulangi kesilapan ini. Manusia, makhluk yang dilantik sebagai khalifah telah mengulangi kesilapan yang pernah membuatkan Allah sangat murka pada satu ketika dahulu! Sungguh benarlah pepatah yang mengatakan bahawa manusia itu mudah lupa.

Let it go!

Hakikatnya, teguran dan nasihat itu adalah tanda kasih sayang diantara kita sesama manusia. Ayat ketiga surah al-Asr turut menghuraikan akan keberuntungan mereka yang saling menasihati ke arah kebenaran dan kesabaran. Oleh itu, marilah kita mengubah perspektif kita dan menerima teguran dengan hati yang terbuka. Janganlah kita jadi seperti iblis yang dimurkai Allah ke atasnya.

Lepaskan ego. "Let it go!"


*artikel ini saya hasilkan pada 16hb November 2014 di dalam program bengkel penulisan 'Write for Ummah' yang dianjurkan oleh Persatuan Rakan Masjid UiTM Puncak Alam. Terima kasih dan tahniah atas program yng sangat 'superb'! 😀


Thursday, November 20, 2014

Kehidupan Raja

Kehidupan

Bernafas,
Bergerak,
Makan dan minum...

Aktiviti dan perkara yang amat diperlukan dalam proses kehidupan seseorang manusia. Bernafas diperlukan bagi menyalurkan oksigen daripada udara sekeliling kepada sel-sel yang berada di dalam badan kita. Oksigen berfungsi untuk 'menghidupkan' sel-sel tersebut. Makanan dan minuman turut memainkan peranan yang penting iaitu sebagai pembekal tenaga dan zat-zat mineral yang diperlukan bagi membolehkan sel-sel tersebut bergerak.

Ya, pergerakan juga merupakan salah satu ciri bagi menggambarkan kehidupan seorang manusia.

Kerana apa?

Kerana manusia yang tidak bergerak merupakan manusia yang mati walaupun ia masih lagi bernafas. Tidur merupakan satu bentuk kematian yang sementara dan begitu juga keadaannya bagi kes koma.

Namun, ketiga-tiga ciri ini jika diperhatikan dan direnungkan, ternyatalah ciri-ciri ini hanyalah berbentuk fizikal.

Bernafas, bergerak, makan dan minum. Itu sahaja.

Itu sahaja?

Itu sahajakah kehidupan kita?

"Siapa kata?"

"Eh, tidak! Siapa kata itu saja hidup kita? Kita kena kerja, kahwin, mentadbir negara, bla.. bla.. bla..."

Baiklah, bagaimana kalau saya rangkulkan kesemua aktiviti tersebut ke dalam satu kategori yang umum? Bukankah aktiviti-aktiviti tersebut boleh dikategorikan sebagai 'bergerak'?

Oleh itu, sekali lagi diulangkan soalan yang sama;

Itu sahajakah?

Itu sahajakah aktiviti yang kita lakukan yang membolehkan kita untuk mengatakan bahawa kehidupan kita merupakan "sebuah kehidupan yang indah"?

Kehidupan Indah

Jikalau begitulah definisi kehidupan yang indah, maka sungguh saya tidak menginginkan kehidupan yang sebegitu!

Benar. Kehidupan memang sangat senang, 'sempoi' sebegitu. Namun, ada satu suara di dalam diri yang sedang menangis. Sedih. Terasa disisihkan. Kosong dan lompong dirasakan di sepanjang perjalanan kehidupan fizikal tersebut.

Ya, hati dan keimanan kita berasa tersisih dek kerana kita terlalu mengejar kehidupan fizikal yang fana ini. Menangis iman kita, pilu rohani kita. Hatta, jikalau banjir sekali pun dengan air mata tersebut, kita tidak akan menghiraukannya sekiranya kita mentakrifkan kehidupan yang indah itu hanyalah bergantung kepada aspek fizikal semata-mata.

Oleh itu, marilah kita menghidupkan kembali kehidupan hati kita. Kehidupan iman kita. Sesungguhnya, hati itu adalah raja bagi diri kita. Jikalau seorang raja (hati) hidup dalam keadaan yang bahagia dan baik, insyaAllah rakyatnya (kehidupan secara keseluruhan) juga akan merasa kebahagian di bawah pentadbirannya.


Abu Hurairah r.a. pernah berkata:

"Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tenteranya. Jika raja itu baik, maka akan baiklah tenteranya dan jika buruk pula si raja, maka buruklah tenteranya."

Jagalah raja kita, hati kita. 😀