Thursday, November 20, 2014

Kehidupan Raja

Kehidupan

Bernafas,
Bergerak,
Makan dan minum...

Aktiviti dan perkara yang amat diperlukan dalam proses kehidupan seseorang manusia. Bernafas diperlukan bagi menyalurkan oksigen daripada udara sekeliling kepada sel-sel yang berada di dalam badan kita. Oksigen berfungsi untuk 'menghidupkan' sel-sel tersebut. Makanan dan minuman turut memainkan peranan yang penting iaitu sebagai pembekal tenaga dan zat-zat mineral yang diperlukan bagi membolehkan sel-sel tersebut bergerak.

Ya, pergerakan juga merupakan salah satu ciri bagi menggambarkan kehidupan seorang manusia.

Kerana apa?

Kerana manusia yang tidak bergerak merupakan manusia yang mati walaupun ia masih lagi bernafas. Tidur merupakan satu bentuk kematian yang sementara dan begitu juga keadaannya bagi kes koma.

Namun, ketiga-tiga ciri ini jika diperhatikan dan direnungkan, ternyatalah ciri-ciri ini hanyalah berbentuk fizikal.

Bernafas, bergerak, makan dan minum. Itu sahaja.

Itu sahaja?

Itu sahajakah kehidupan kita?

"Siapa kata?"

"Eh, tidak! Siapa kata itu saja hidup kita? Kita kena kerja, kahwin, mentadbir negara, bla.. bla.. bla..."

Baiklah, bagaimana kalau saya rangkulkan kesemua aktiviti tersebut ke dalam satu kategori yang umum? Bukankah aktiviti-aktiviti tersebut boleh dikategorikan sebagai 'bergerak'?

Oleh itu, sekali lagi diulangkan soalan yang sama;

Itu sahajakah?

Itu sahajakah aktiviti yang kita lakukan yang membolehkan kita untuk mengatakan bahawa kehidupan kita merupakan "sebuah kehidupan yang indah"?

Kehidupan Indah

Jikalau begitulah definisi kehidupan yang indah, maka sungguh saya tidak menginginkan kehidupan yang sebegitu!

Benar. Kehidupan memang sangat senang, 'sempoi' sebegitu. Namun, ada satu suara di dalam diri yang sedang menangis. Sedih. Terasa disisihkan. Kosong dan lompong dirasakan di sepanjang perjalanan kehidupan fizikal tersebut.

Ya, hati dan keimanan kita berasa tersisih dek kerana kita terlalu mengejar kehidupan fizikal yang fana ini. Menangis iman kita, pilu rohani kita. Hatta, jikalau banjir sekali pun dengan air mata tersebut, kita tidak akan menghiraukannya sekiranya kita mentakrifkan kehidupan yang indah itu hanyalah bergantung kepada aspek fizikal semata-mata.

Oleh itu, marilah kita menghidupkan kembali kehidupan hati kita. Kehidupan iman kita. Sesungguhnya, hati itu adalah raja bagi diri kita. Jikalau seorang raja (hati) hidup dalam keadaan yang bahagia dan baik, insyaAllah rakyatnya (kehidupan secara keseluruhan) juga akan merasa kebahagian di bawah pentadbirannya.


Abu Hurairah r.a. pernah berkata:

"Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tenteranya. Jika raja itu baik, maka akan baiklah tenteranya dan jika buruk pula si raja, maka buruklah tenteranya."

Jagalah raja kita, hati kita. 😀

No comments:

Post a Comment